Adakah anda mengalami sakit lutut? Harini saya akan terangkan apakah penyebab, simptom dan rawatan yang anda boleh lakukan apabila mengalami sakit sendi di bahagian lutut ini.

Radang sendi lutut atau dikenali sebagai osteoarthritis merupakan jenis arthritis yang paling umum terjadi. Osteoarthritis (OA) adalah sebuah keadaan di mana pergerakan di antara sendi dan tulang rawan menjadi kasar dan retak sehingga menyebabkan keradangan dan kesakitan di bahagian sendi lutut ini.

sakit lutut

Penyebab Utama

1. Kecederaan

Kecederaan di bahagian lutut ini memang amat menyakitkan. Selepas mengalami kecederaan, pesakit biasanya akan mengalami sakit, ngilu dan pembengkakan di bahagian lutut ini.

2. Kerap Bergerak

Kerap menggunakan pergerakan lutut untuk jangkamasa yang panjang boleh memberikan kesan yang buruk dan boleh menyebabkan kesakitan lutut. Jadi, bukan sahaja kecederaan yang boleh menyebabkan gejala penyakit ini. Kadang-kala ahli sukan yang kerap berlari pun boleh mengalami kesakitan di bahagian lutut ini.

3. Panyakit yang Kronik

Arthritis adalah salah satu contoh penyakit kronik yang menyebabkan sakit di bahagian lutut menjadi bertambah teruk. Orang yang muda juga boleh mengalami kesakitan ini tetapi ia lebih cenderung dan lebih berisiko setelah berusia 45 tahun.

Gejala dan Simptom

1. Rasa sengal dan ngilu

Rasa sengal dan ngilu biasanya muncul secara tiba-tiba, tetapi ianya lebih cenderung muncul secara perlahan-lahan dan hilang-timbul. Anda mungkin akan merasakan kesakitan hanya pada waktu pagi atau setelah selesai melakukan aktiviti yang sudah lama tidak dilakukan. Lutut anda juga mungkin merasa sengal dan ngilu ketika menaiki tangga, bangun dari kerusi, berlutut ataupun kadang-kala ketika sedang duduk. Kebanyakan orang yang mengalami sakit lutut ini tidak dapat menahan rasa sengal dan ngilu terutamanya ketika cuaca sejuk.

2. Lutut berbunyi apabila digerakkan

Anda mungkin merasakan lutut anda berbunyi seperti bunyi “kreek..”,  ketika anda cuba menggerakkan lutut. Gejala ini biasanya terjadi kerana geseran antara tulang pada permukaan kartilaj yang menyelaputi sendi tidak rata dan licin. Apabila usia semakin meningkat tua, tisu kartilaj akan menjadi tidak rata. Geseran pada permukaan tidak rata itulah yang akan menghasilkan bunyi.

3. Keterbatasan bergerak

Anda pernah mengalami situasi ini? Semakin lama, anda semakin susah untuk menggerakkan lutut. Ketika sakit lutut ini menjadi semakin teruk, bahagian lutut ini akan menjadi susah untuk digerakkan sehingga boleh membataskan aktiviti harian anda. Anda mungkin akan mengalami masalah ketika hendak berjalan. Ini mungkin kerana lutut tidak boleh mengawal berat badan dan anda memerlukan bantuan tongkat supaya boleh berjalan.

4. Keadaan lutut nampak berubah

Jika anda sering sakit lutut, kemungkinan terdapat perubahan pada keadaan lutut anda. Arthritis boleh membuatkan lutut anda menjadi cekung kerana otot-otot di sekitar lutut menjadi kecil dan lemah. Perubahan bentuk lutut ini biasanya hampir tidak kelihatan tetapi sakitnya tidak boleh diucap dan boleh menyebabkan badan menjadi semakin lemah.

Cara Mengubati Sakit Lutut

Tujuan utama mengubati sakit lutut adalah untuk meringankan rasa sakit sendi supaya anda boleh bergerak dan beraktiviti seperti biasa.

Untuk mengurangkan atau meringankan rasa sakit, anda boleh:

  • Menurunkan berat badan. Obesiti adalah faktor risiko besar penghidap osteoartritis.
  • Panaskan badan sebelum bersenam. Senaman berat ketika otot dan sendi masih sejuk boleh menyebabkan kecederaan.
  • Kekal fleksibel. Sebelum bersenam, cuba regangan dinamik iaitu menggerakkan otot kepada julat pergerakan maksima. Selepas bersenam, buat regangan statik, dimana anda tahan regangan selama 30 saat. Ini boleh mencegah kecederaan. Buat selalu untuk otot bahagian depan dan belakang peha (kuadrisep dan hamstring).
  • Pakai kasut sesuai dan selesa ketika bersenam.
  • Menyapukan krim atau gel yang mengandungi capsaicin, melakukan akupuntur atau mengambil ubat atau supplement yang disyorkan doktor.
sakit sendi jumpa doktor

Jumpalah Doktor Jika…

1. Menanggung Kesakitan Selama 48 jam

Ini untuk mengetahui samaada kesakitan yang dialami disebabkan oleh sendi ataupun otot. Jadi, anda berjumpalah dengan doktor jika sakit lutut tersebut berpanjangan selama 48 jam. Dalam kes ini, kemungkinan otot anda tiada masalah.

2. Bengkak Tidak Surut

Apabila anda mengalami kecederaan di bahagian lutut, lutut biasanya akan membengkak dan sakit. Tisu lembut di bahagian ini akan membengkak apabila tercedera dan ini boleh menyebabkan kesakitan yang berpanjangan, lutut tidak boleh bergerak dan kegiatan anda terbatas.

3. Lutut Tidak Stabil

Jika sebelah lutut anda kelihatan tidak stabil, berjumpalah dengan doktor walaupun bahagian lutut tersebut tidak menyakitkan. Pesakit akan merasakan lutut seperti bergoyang dan mengalami kesukaran semasa menuruni tangga.

Rawatan Dari Rumah

Sebelum berjumpa dengan doktor, anda boleh membuat rawatan dari rumah untuk mengurangkan kesakitan di bahagian lutut.

Berehat

Ambil masa untuk berehat beberapa hari dan mengurangkan pergerakan di bahagian lutut boleh mengurangkan kesakitan yang anda alami.

Letakkan Ais

Meletakkan ais di bahagian lutut juga boleh mengurangkan kesakitan dan inilah cara yang paling mudah yang anda boleh lakukan di rumah.

Apabila rawatan dari rumah tidak memberikan apa-apa perubahan pada lutut, sebaik-baiknya anda berjumpalah dengan doktor untuk memastikan perubatan yang tepat untuk mengurangi sakit sendi pada lutut tersebut. Biasanya doktor akan menyuntik kortikosteroid atau asid hyaluronic ke lutut dan membuat pembedahan jika itu adalah pilihan yang terbaik.